Tahun 2013 merupakan tahun bertuah kepada saya sekeluarga. Anugerah Allah s.w.t kepada kecemerlangan anak-anak dalam peperiksaan awam. Usaha gigih mereka sebelum menduduki peperiksaan beroleh hasil setimpal dengan jerih payah mereka. Anak bongsu Khairunnisa meraih 7A dalam PMR. Kakaknya Nursyahirah cemerlang dengan 7A dalam SPM, manakala abang mereka Ahmad Hafez memperoleh 3A, 1B dalam STPM. Setiap daripada mereka mencipta sejarah baharu dalam keluarga apabila masing-masing memecahkan rekod kecemerlangan kakak mereka Nurhafizah yang sedang belajar tahun akhir di USM.
Dalam kegembiraan ini saya turut mengucapkan terima kasih kepada warga guru SMK. Bugaya khasnya yang terlibat secara langsung dalam membimbing anak-anak saya di bilik darjah selanjutnya di luar bilik darjah. Sesungguhnya anak-anak saya bertuah kerana belajar di SMK. Bugaya yang majoriti guru-gurunya komited dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Kepada mereka saya kalungkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih.
Cabaran Tahun 2013, cukup menghambat pemikiran saya apabila memikirkan ketiga-tiga anak kami menduduki tiga peperiksaan awam di peringkat PMR, SPM dan STPM. Sebagai bapa dan ketua keluarga juga sebagai seorang guru, cabaran itu disahut dengan membuat sepenuh perancangan untuk memastikan ketiga-tiga mereka berupaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki. Langkah awal saya adalah berbincang dengan mereka untuk menetapkan target keupayaan maksimum yang boleh mereka capai dalam peperiksaan diduduki. Selepas itu saya mula merancang dengan merujuk guru-guru mata pelajaran yang mengajar mereka untuk mendapatkan input berguna tentang prestasi semasa mereka.
Bagi mata pelajaran bahasa dan kemanusiaan saya tidak menghadapi masalah kerana saya dan isteri boleh membimbing mereka di rumah. Namun bagi subjek Bahasa Inggeris, dan subjek elektif seperti sains, matematik tambahan, prinsip akaun, saya menghantar mereka ke pusat tuisyen yang berwibawa. Di sekolah saya turut mendapatkan khidmat guru-guru yang mengajar mereka untuk mengadakan kelas lebih masa di luar waktu persekolahan. Anak-anak saya turut bersemangat mengikuti kelas-kelas yang dianjurkan, kerana pendekatan yang diambil oleh guru-guru mereka, antaranya seperti En Ahmad Shamsul Hadi, Pn. Nor Raihan, Cik Chung See Yee cukup menarik dan berkesan.
Sebulan sebelum hari sebenar peperiksaan saya sangat mengagumi guru-guru pra U SMK. Bugaya yang diketuai oleh Pn. Masni, Pn. Jurinah, Pn Nursyahmi dan En Mohd Aksan yang sanggup membimbing calon-calon STPM termasuk anak saya menghadiri kelas malam. Sebagai bapa saya bersyukur kepada Allah s.w.t kerana mengurniakan anak-anak saya guru-guru yang berdedikasi. Disamping itu mengurniakan saya, anak-anak yang patuh kepada ibu bapa, berdisiplin dan menghormati guru.
Pada hari peperiksaan, saya telah mempraktikkan apa yang telah diperolehi semasa saya menghadiri majlis restu di SMKA Tun Sakaran, ketika anak sulung saya menduduki peperiksaan SPM tahun 2006. Petua-petua yang dikemukakan dalam sesi ceramah itu telah saya praktikan. Sebelum hari peperiksaan bermula, selepas solat Maghrib berjemaah kami sekeluarga menunaikan solat hajat memohon keredhaan Allah s.w.t. agar anak-anak dikurniakan Allah akal pemikiran yang tajam, dada yang lapang dan iman yang kukuh semasa menghadiri peperiksaan mereka. Setiap kali anak saya menduduki kertas peperiksaannya, saya akan berdoa kepada Allah dengan membacakan surah Yasiin. Saya juga sentiasa berpesan kepada mereka agar memulakan setiap sesi peperiksaan mereka dengan berdoa kepada Allah dan mengucapkan syukur selepas menyelesaikannya, sepanjang hari peperiksaan. dengan erti kata bertawakkal kepada Allah disepanjang menghadiri peperiksaan.
Demikianlah anugerah Allah kepada saya sekeluarga. Anugerah kemanisan Iman. Anugerah kejayaan anak-anak. Sesungguhnya saya memohon kepada Allah agar mengampunkan dosa-dosa kami dan dosa-dosa kedua-dua ibubapa kami. Kami juga memohon agar Allah memandang kami sekeluarga dengan rahman dan rahimNya. Mengekalkan kami dalam hidayah dan taufiknya. Memelihara kami dari azab siksaan api neraka.
1 comment:
tahniah diucapkan...n boleh dikongsi tip2 yg diberikan....moga kejayaan yg dicipta itu berterusan sehingga ke akhirnya...
Post a Comment