"Setiap orang inginkan kejayaan dalam kerjaya. Naik pangkat terutamanya. Berlumba-lumba mengejar, menggapai dan memilikinya. Tetapi tidak semua yang muhasabah diri, layakkah aku? Kalau layak, layak yang bagaimana. Layak sekadar cukup tempoh. Naik Gred untuk naik gaji. Naik pangkat bermakna memegang jawatan. Jawatan itu satu amanah. Bolehkah menyempurnakan amanah?" Soalan itu bermain dalam fikiranku sepantas kilat setelah menerima makluman daripada Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah. "Ada iklan pemangkuan jawatan DG44 ke DG48, pohonlah, cikgu layak. DG44 lantikan tahun berapa? tanya PK1. "Tahun 2008, 16.05.2008" jawabku lengkap. "Ha layaklah tu, sebab syarat lantikan tahun 2010 ke bawah". Tegas PK1. "Oo, iya. Terima kasih. Nantilah cikgu fikir dulu." jawabku.
Memegang jawatan penting di sekolah, seperti penolong kanan pentadbiran, penolong kanan HEM, penolong Kanan Kokum dan penolong kanan petang merupakan suatu amanah besar yang perlu digalas seseorang yang bercita-cita memegang jawatan tersebut melalui saluran kenaikan pangkat secara umum. Hal ini kerana seseorang yang berjaya, akan memangku jawatan selama enam bulan sebelum dilantik secara hakiki. Mereka juga perlu akur untuk ditempatkan di mana-mana sekolah yang mempunyai kekosongan jawatan tersebut. Ini bermakna seseorang itu akan bertukar dari sekolah asal ke sekolah baharu yang terdapat kekosongan bagi jawatan tersebut.
Saya mengambil keputusan untuk tidak memohon iklan jawatan pemangkuan DG48, biarlah saya kekal dalam laluan guru akademik tingkatan enam yang saya sandang sekarang. Guru Akademik Sejarah Tingkatan Enam Hakiki. "Tunggu sajalah iklan pemangkuan jawatan DG48 guru akademik." Bisik hati kecilku.
Sebenarnya saya mempunyai pengalaman sebagai pentadbir. Tahun 1991-1994 saya dilantik sebagai Guru penyelia petang di SMK. Bugaya. Lantikan sekolah. Saya diperakukan oleh En Mohd Ismail bin Talib, Pengetua pada masa itu. Pada waktu itu tidak ramai bilangan guru siswazah di sekolah menengah di daerah Semporna. Jadi saya sebagai guru penolong DGA29, merupakan paling kanan dari segi senioriti perkhidmatan. Empat tahun menjalankan tugas cukup mencabar. Apa tidaknya saya yang mengurus kurikulum, mengurus hal ehwal murid petang, disiplin pelajar, pendaftaran pelajar tingkatan satu. Yang paling sukar ialah menyelia guru-guru yang mempunyai pelbagai karenah. Menguji dan sangat menghambat pemikiran saya. Guru sesi petang seramai 42 orang dan 24 buah kelas tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Jumlah murid sesi petang sebanyak 620 orang.
Tahun 1997 saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Sabah dalam bidang Sarjanamuda pendidikan dengan Sains Sosial Kepujian dalam bidang Sejarah. Menamatkan pengajian pada tahun 2000 dan ditempatkan semula ke SMK. Bugaya. Tahun 2004 hingga 2008 diperakukan oleh Tn haji Abu Hassan Bin Hj Ag. Baba, pengetua SMK. Bugaya ketika itu sebagai Ketua Bidang kemanusiaan. Membantu meningkatkan kurikulum sekolah bidang kemanusiaan bersama dua orang penolong kanan pentadbiran iaitu En Abdul Aziz Bin Hj Abd Rashid (sekarang menjadi pengetua SMKDPA) dan En Zaini bin Mat yang mula berkhidmat pada tahun 2008 hingga sekarang.
Sekarang saya lebih selesa sebagai guru akademik. Begitu banyak kemanisan daripada kepahitan. Fokas utama saya lebih kepada kejayaan pelajar dalam bidang yang saya ajar untuk memudahkan mereka melangkah ke manara gading. Tahun 2010 saya mula mengajar sepenuh masa dalam aliran Pra Universiti dengan mengajar 3 buah kelas Tingkatan enam rendah. Tahun 2012 merupakan pencapaian terbaik saya dan paling manis dalam hidup saya sebagai guru. Sebanyak 26 orang murid saya memperoleh gred A dalam mata pelajaran Sejarah kertas 2 yang saya ajar. Salah seorang daripada mereka adalah anak lelaki saya Ahmad Hafez bin Sarail yang juga menjadi pelajar ketiga terbaik STPM tahun 2012 SMK. Bugaya. Apa yang lebih membanggakan, kelas mereka iaitu Tingkatan Enam Aspirasi saya mengajar mereka sejak dari tingkatan enam rendah. Pada tahun tersebut jumlah keseluruhan pelajar Pra U SMK Bugaya yang memperoleh prinsipal A dalam mata pelajaran sejarah ialah 67 orang. Mata pelajaran Sejarah muncul sebagai subjek terbaik STPM 2012 dengan pencapaian 98% lulus prinsipal. Pencapaian terbaik STPM Daerah Semporna menewaskan empat buah sekolah lain yang mempunyai ingkatan enam.
Tahun 2013 umur saya sudah menjangkau 50 tahun. Untuk menjadi pentadbir, yang berhadapan dengan tekanan tinggi pengurusan sumber manusia, rasanya ingin saya elakkan. Saya perlukan ketenangan dalam meniti usia tua. Saya mahukan kemanisan bekerja, yang saya yakin dan percaya saya perolehi di dalam bidang akademik Pra Universiti. Saya suka mendidik dan membimbing pelajar akhir remaja yang menuju proses pematangan. Bukan sekadar mereka berjaya dalam subjek Sejarah yang saya ajar, tetapi jauh lebih bermakna mendidik mereka sebagai manusia yang menjadikan syariat Islam sebagai titian menuju kejayaan. Kejayaan dunia dan akhirat. Robbanaa aatinaa fiddunya khasanaa wafil aakhiratii khasanaa waqinaa azabannaar.