Pages

Orang Berbudi Kita Berbahasa...

Puisi Melayu lama merupakan pancaran norma kehidupan mereka. Masyarakat Melayu lama bijak menyampaikan ilmu dan mendidik generasi mereka dengan berhemah. Mereka menggunakan bahasa yang indah untuk mendidik anak-anak agar dapat mengamalkan budaya yang murni dalam kehidupan apabila dewasa kelak. "Orang Berbudi Kita Berbahasa, Orang Memberi Kita Merasa". Sungguh indah susun atur kata-kata yang mengandung banyak makna tersirat. Nilai-nilai murni terpancar daripada kata akar, budi, bahasa, beri dan rasa. Penggunaan imbuhan Ber... dalam kata akar itu memberi penekanan kepada makna kata kerja. Iaitu suatu kata yang mengajar masyarakat agar bertingkahlaku seperti yang dikehendaki dalam norma-norma masyarakat lama.Bagaimana diaplikasikan dalam kehidupan kita, sukarkah? Pada 7 April 2013 saya telah menganjurkan satu majlis keluarga yang saya rasanya boleh dikaitkan dengan peribahasa di atas. Bukan menunjuk atau rasa bangga diri tetapi sekadar perkongsian minda. 

Perasaan gembira menyelebungi keluarga saya, selepas anak-anak menerima keputusan peperiksaan awam yang mereka duduki. Apa tidaknya, mereka mencapai keputusan yang cemerlang iaitu Khairunnisa 7A dalam PMR, Nursyahirah 7A dalam SPM dan Ahmad Hafez 3A dalam STPM. "Alhamdulillah". Ucapan syukur kepada Allah spontan saya lafazkan di atas anugerah ini. Saya dihujani oleh ucapan tahniah oleh rakan-rakan guru. Sesungguhnya kejayaan mereka selain usaha mereka bersunguh-sungguh juga turut didukung oleh guru-guru yang mengajar mereka di bilik-bilik darjah.  Saya turut mengucapkan terima kasih kepada rakan guru yang membimbing anak-anak saya sehingga mencapai kejayaan.

Sebagai tanda penghargaan kepada rakan-rakan dan juga keluarga yang turut sama mendoakan saya dan anak-anak, saya telah mengadakan majlis kesyukuran. Majlis tersebut telah dihadiri oleh rakan-rakan guru termasuk sahabat handai anak-anak saya. Pengetua SMK. Bugaya, Penolong Kanan Pentadbiran dan Penolong kanan HEM, serta Ketua Bidang turut hadir dalam majlis tersebut. Kehadiran mereka ke majlis saya, merupakan satu penghormatan dan saya kagum dengan sikap prihatin mereka. Sikap mereka menggambarkan kepada saya bahawa mereka turut menghargai kecemerlangan anak-anak saya kerana turut membantu mengharumkan nama sekolah dalam peperiksaan awam.

Saya turut mengadakan Majlis tahlil untuk kedua ibu bapa saya. Walaupun mereka telah lama pergi mendahului kami namun pengorbanan mereka mendidik dan membesarkan saya sehingga berjaya tetap dalam ingatan. Majlis kesyukuran dan majlis tahlil tersebut memberi ruang kepada anak-anak saya untuk berkerja menyediakan juadah dan mengedarkan jamuan kepada guru-guru dan sahabat handai mereka. Hal ini secara tidak langsung mengujudkan semangat kerjasama dalam kalangan mereka untuk menjayakan majlis tersebut. Sekaligus dapat menyemai nilai menghargai sumbangan guru-guru mereka. Bak kata pepatah masyarakat Melayu lama "orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa".

No comments: