Demam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) semakin hangat. Pemimpin parti-parti politik bergerak aktif bersama rombongan mengunjungi para pengundi di kawasan-kawasan yang panas mengikut tafsiran mereka. Mereka mencanangkan pelbagai isu dan janji-janji manis kepada pengundi. Yang berjaya dalam pilihan raya lalu, tetapi belum menepati janji mula mencari pelbagai helah untuk memadamkan kegusaran hati pengundi terhadap keupayaan mereka. Setelah alpa mereka mula diulit kebimbangan, adakah kemanisan semalam akan berulang atau mereka akan terpaksa meniti hari-hari pahit dan menangisinya.
Bagi calon yang mula berjinak-jinak dengan proses pilihan raya dan bertanding atas tiket Bebas, mereka turut memperjudikan nasib mencuba, mencelah di tengah-tengah kesibukan parti-parti pemerintah dan parti-parti pembangkang yang telah perkasa. Walaupun terasa kecil langkah dan perjuangan mereka, mereka juga tidak mahu ketinggalan berusaha mendatangi pengundi-pengundi di pelusuk kawasan mereka. Siapa tahu ada setitik harapan sokongan terhadap mereka.
Kepada mereka yang rancak dibuai mimpi-mimpi indah dengan pelbagai harapan menggunung sekalung peringatan. Bebaskan diri daripada sikap angkuh, dengki khianat, tomahan dan hasad dengki dalam perjuangan. Bebaskan diri daripada menyerang peribadi individu apatahlagi mengaibkannya. Kerana sesungguhnya semua itu adalah senjata syaitan untuk merosakkan perjuangan politik suci yang pernah diasaskan oleh baginda Rasulullah saw. semasa menegakkan pemerintahan Islam di bumi Madinah. Contohi baginda yang berjuang menyatukan pelbagai bangsa dan fahaman agama yang sedia ada di bumi Madinah menjadi suatu bangsa yang bersatu melalui pembentukan rakyat Madinah sebagai Satu Ummah.
Hulurkan janji manis yang boleh ditepati. Kerana janji menjadi suatu tanggungjawab dan amanah yang mesti ditepati. Mungkir janji adalah antara sifat orang munafik. Jangan sesekali menjadi sebahagian daripada mereka atau tergolong dalam golongan tersebut. Jangan sesekali menggunakan janji sebagai alat untuk memancing undi. Walaupun pintu taubat sentiasa terbuka, namun dosa-dosa semalam tetap menghambat dan meninggalkan parut pada hamparan iman yang putih suci dan bersih.
No comments:
Post a Comment