Peristiwa pencerobohan pengganas sulu semakin reda. Namun, pasukan keselamatan negara masih giat mencari sisa-sisa pengganas yang dipercayai masih berada di beberapa tempat di pantai timur negeri Sabah. Tugas kali ini jauh lebih sukar daripada tugas fasa pertama pertempuran di kawasan Kampung Tanduo, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian. Di sana musuh mudah dikenal pasti tetapi sekarang sukar membezakan mereka dengan penduduk tempatan, kerana keupayaan mereka berbahasa tempatan Sabah di samping berbahasa Malaysia dan mereka sedang bercampur-gaul dengan penduduk tempatan. Berkemungkinan besar ada dalam kalangan mereka sudah memiliki mykad sama ada secara sah atau secara proses yang diragui. Bermakna tugas pasukan keselamatan negara kita semakin sulit, khasnya menjejaki rangkaian mereka yang diwarwarkan masih berada di beberapa daerah dalam lingkungan yang agak besar jumlahnya.
Hal ini menuntut semangat patriotisme dalam kalangan penduduk tempatan. Mereka perlu bertindak melaporkan dengan pantas sebarang keraguan yang timbul terhadap gerak-geri kaum pendatang dari kepulauan sulu, tidak kira sama ada mereka sudah menjadi pemastautin tetap mahu pun yang masih memegang kad lawatan sementara. Mereka merupakan bangsa yang kuat berdendam. Dendam adalah sebahagian daripada kehidupan tradisi mereka. Tiada yang mampu menghalang dendam yang membara dalam diri mereka. Mereka sedia bertindak di luar jangkaan pemikiran kita untuk membela dan menebus nyawa kaum kerabat yang terkorban dalam peperangan di Lahad Datu ataupun yang telah ditangkap oleh pihak berkuasa di beberapa daerah negeri ini. Rakyat perlu sentiasa berhati-hati, tidak boleh berpeluk tubuh dan dibuai oleh kemenangan dan kejayaan pasukan keselamatan menewaskan mereka. Rakyat perlu memberikan sokongan kepada pasukan keselamatan mengikut keupayaan kita. Sokongan yang paling kukuh ialah jangan menyebarkan khabar-khabar angin yang boleh mewujudkan situasi panik dan ketakutan yang keterlaluan dan membabi buta. Kita perlu yakin dengan keupayaan pasukan keselamatan kita.
Seperkara yang perlu diambil iktibar daripada peristiwa pencerobohan tersebut adalah semangat perpaduan yang seharusnya menjadi semakin utuh dalam kalangan rakyat Malaysia. Semangat kenegerian khususnya dalam kalangan penduduk Sabah yang sering bersikap anti Semenanjung dan begitulah juga sebaliknya penduduk semenanjung yang sering merendah-rendahkan rakyat Sabah perlu dikikis. Sejarah membuktikan bahawa mereka yang terkorban dalam peristiwa pencerobohan di Lahad Datu dan di Semporna adalah terdiri dari kalangan pasukan keselamatan tiga wilayah Malaysia iaitu dari Bumi Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Mereka telah berjuang tanpa sentiman batasan wilayah. Mereka sama-sama berjuang mempertaruhkan nyawa mereka untuk mempertahankan tanah Malaysia yang tercinta ini.
Ayuh rakyat Malaysia dari Perlis sampai ke Sabah kita bina dan rapatkan barisan kita, bersatu memusnahkan petualang negara sama ada mereka yang datang merentasi Lautan Sulu mahupun mereka yang menjadi duri dalam daging di negara kita yang tercinta ini. Tolakkan tomahan dan impian songsang sejarah mereka yang tidak mahu berpijak di bumi yang nyata, sebaliknya dibuai oleh mimpi-mimpi indah nafsu serakah. Semoga penubuhan ESSCOM yang diketuai oleh Datuk Muhammad Mentek, Ketua Pengarah ESSCOM dan dibantu oleh empat orang Timbalan Ketua Pengarah dapat mempastikan keselamatan bahagian pantai timur Sabah lebih terjamin dan terpelihara. Selamat maju jaya kepada ESSCOM.
No comments:
Post a Comment