Pages

Memartabatkan profesion perguruan: Betulkah agendanya?

pelbagai usaha diambil untuk memartabatkan profession perguruan oleh mereka yang menggelar diri sebagai reformis pendidikan. Butiran idea baharu dijana kemudian dilontarkan menjadi dasar yang perlu dilaksanakan oleh kumpulan pelaksana. Natijahnya bukan keberhasilan yang didambakan tetapi semacam kecelaruan. Apa tidaknya, Naik satu buat satu... Naik dua buat dua... Naik tiga buat tiga... Akhirnya semuanya bercelaru, kusut dan terpaksa diurai. Hasilnya, benarlah kenyataan pepatah lama "wal hasil balik asal". Itulah senario pendidikan mutakhir yang terpaksa ditelan.

Kita tidak menolak perubahan jauh sekali menentangnya. Kita alu-alukan semua usaha untuk memartabatkan  profession perguruan. Kita menyokong usaha murni itu kerana guru dan pendidik menjadi wahana melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan dan berketrampilan. Siapakah yang paling layak memikul tanggungjawab itu? Adakah mereka yang memperoleh pencapaian akademik cemerlang dengan 9A+ dalam SPM, 4PA dalam STPM, ataupun PNGK 4.0 dalam Ijazah Sarjanamuda Pendidikan semata-mata. Jawapannya sudah pasti tidak, kerana kecemerlangan akademik hanyalah sebahagian daripadanya. Tidak semua pelajar cemerlang akademik itu mampu menjadi pendidik dan guru yang baik. Hal ini kerana guru yang baik merangkumi banyak aspek dan akademik hanyalah sebahagian daripadanya.

Proses penambahbaikan bidang keguruan terutamanya dari segi perjawatan dan peluang-peluang kenaikan pangkat serta gaji dan beberapa imbuhan lain seperti elaun-elaun khas yang agak lumayan mula meletakkan profession ini menjadi tumpuan pelajar sama ada lepasan SPM, STPM mahupun Ijazah pertama dari universiti-universiti tempatan. Hampir meletakkannya sebaris bidang kedoktoran dan kejuruteraan yang menjadi keutamaan pelajar-pelajar cemerlang pelbagai kaum. Selangkah ke hadapan tampak usaha kementerian pelajaran/pendidikan membuahkan hasil. Hal ini terbukti kepada bilangan pemohon bidang ini yang terus bertambah setiap tahun berbanding bilangan yang tempat yang ditawarkan oleh kementerian pelajaran. Ujian saringan dijalankan untuk memilih mereka yang benar-benar layak melalui ujian bertulis Medsi  dan Munsyi bagi pengambilan USM. Mereka yang berjaya melalui tapisan pertama ini akan di panggil untuk menghadiri temuduga lisan untuk pemilihan terakhir oleh panel penemuduga berwibawa.

Sehubungan itu perkembangan mutakhir hangat memperkatakan satu mekanisma baharu bakal diperkenalkan dan sedang diwar-warkan di peringkat menteri iaitu mereka yang dilantik menjawat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dalam Kemeneterian Pelajaran mesti Lulus dengan cemerlang ( PNGK 3.8 ke atas). Dan tiada jaminan untuk pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM yang memasuki bidang pengajian ini di mana-mana universiti awam tempatan mahupun institut perguruan tajaan Bahagian Pendidikan Guru untuk dilantik secara automatik menjadi guru seperti sebelum ini. Dengan erti kata lain tiada zon selesa untuk para pelajar yang mengikuti kursus ini. Mereka mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi yang terbaik, kerana hanya yang terbaik akademiknya mengkut tafsiran mereka layak dinobatkan sebagai guru. Dan hanya yang terbaik layak merealisasikan matlamat Kementerian Pendidikan seperti dicatatkan dalam NKRA mereka.

Mengapa idea sedemikian tiba-tiba muncul. Adakah benar khabar angin yang bertiup kencang mengatakan  bahawa berlaku lambakan sarjanamuda pendidikan di pasaran keluaran institusi-institusi perguruan dan universiti-universiti awam melebihi permintaan. Adakah ia idea murni dan landasan terbaik untuk memartabatkan profesion perguruan atau sekadar idea yang mahu memadamkan kritikan para garaduan pendidikan yang membebel, menghentam dan menuding jari kepada kerajaan kerana setelah bertahun  lamanya menunggu belum ditawarkan tempat dan dilantik sebagai guru oleh kementerian pendidikan. Ataupun adakah ia suatu pendekatan yang digunakan untuk menutup ketidakselarasan unjuran yang dibuat oleh kementerian pelajaran dan kementerian pengajian tinggi sebelum ini berkaitan opsyen mata pelajaran utama kursus-kursus sarjanamuda pendidikan yang ditawarkan di universiti-universiti awam dan institut-institut perguruan menyebabkan ketidak seimbangan pengeluaran dan keperluan di sekolah-sekolah kementerian pelajaran.

Media masa menjadi medan golongan yang masih menunggu ini untuk meluahkan perasaan tidak puas hati mereka. Cukup merimaskan pihak berwajib. Bagi golongan "Penunggu Setia" ini, hutang PTPTN perlu dibayar. Denda kerana kelewatan membayar mengikut jadual yang ditetapkan oleh badan berkanun itu cukup membebankan mereka. Bagi mereka yang dilahirkan oleh institut perguruan tajaan Bahagian Pendidikan Guru mungkin kurang sedikit bebanan. Lambat sedikit tidak mengapa sebab mereka tidak berhutang dan tidak perlu membayar balik elaun yang diterima semasa mengikuti pengajian. Bahagian Pendidikan Guru menanggung kos pengajian mereka. Dengan andaian mereka diberi keutamaan penempatan berbanding lulusan IPTA, memandangkan pelaburan BPG kepada mereka.

Ataukah mereka (Lulusan sarjanamuda pendidikan dan sarjanamuda perguruan) yang sedang menunggu 'Q ' ( giliran untuk dilantik ) sekarang, majoritinya memperoleh PNGK 3.0 ke bawah dan menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan pihak-pihak tertentu di kementerian pendidikan. Justeru mengundang kebimbangan dalam kalangan mereka sama ada golongan ini mampu menyahut seruan kementerian untuk mencapai agenda yang telah ditetapkan oleh kementerian pendidikan.

Walau apapun andaian yang dibuat, menjadi harapan kita bahawa tranformasi baharu yang bakal ditampilkan ini menjadi mekanisme baharu untuk memartabatkan bidang keguruan di negara kita sekaligus memberi faedah kepada peningkatan qualiti pendidikan negara kita bertaraf dunia, sepertimana yang termaktub dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang telah dilancarkan. Natijahnya keseluruhan rakyat akan menerima faedah dan tidak semata-mata menjaga kebajikan dan kepentingan sekumpulan kecil rakyat negara ini.

Rindu itu datang lagi...

Generasi pelapis dalam apa jua perjuangan amat penting. Apabila generasi lama pergi generasi mudalah yang akan mengambil alih segala tampuk perjuangan yang telah dimaktubkan dalam tinta emas dalam sanubari bangsa. Jika tidak ada generasi muda pelapis perjuangan, yang ditatang selama ini sukar disambung. Menyedari hakikat itulah sebagai pejuang dalam keluarga yang meneruskan kesinambungan perjuangan terdahulu masih terus berusaha mendidik pelapis penerus arus perjuangan memartabatkan nama keluarga dipersada. 
           
 Dalam meniti alur yang berliku dengan pelbagai arus kehidupan baharu, spantas kilat mindaku mengimbau perjuangan ibu dan bapa tersayang mendidik dan menyediakan pelbagai prasarana untukku menyuburkan diri sebagai anak tunggal lelaki mereka dengan ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi. Aku ditatang bagai minyak yang penuh. Kasih sayang menyirami setiap tubuhku saban hari saban waktu. Kesulitan hidup menyelubungi mereka tapi tidak pernah mengeluh mengasuh dan mendidikku menjadi insan kamil yang bakal menjadi generasi pelapis perjuangan mereka.  Mereka mengerah kudrat  kurniaan Ilahi membesarkanku sehingga berjaya melalui arus persekolahan rendah dan menengah seterusnya menjadi seorang guru sekolah selepas menamatkan pengajian  kursus perguruan di Maktab Perguruan Sandakan, Sabah.

Kini giliranku pula berusaha sebaik mungkin menyediakan peluang pendidikan setinggi mana yang mereka termampu.  Seperti ibu dan ayah, aku dan isteri berikan mereka kasih sayang,  kami berikan mereka pendidikan bermakna untuk menjadikan mereka anak-anak yang soleh yang menjadi generasi penerus perjuanganku. Alhamdulilah anak sulungku bakal penamatkan pengajian Ijazah pertamanya pada bulan Jun 2013 ini. Insha Allah pentauliahannya akan menyusul selepas itu. Demikian juga anak kedua kami dan anak sulung lelaki yang sedang berjuang meneruskan  pengajiannya di tahun kedua di UTHM Johor.   Adiknya yang merupakan anak lelaki kedua kami juga dengan izin Allah, akan menuruti jejak kakak dan abangnya meneruskan  perjuangan menimba ilmu di universiti selepas menamatkan pengajian pra universitinya dengan cemerlang pada tahun 2012 lalu.

Alhamdulillah kejayaan  anak-anakku ini menjanjikan sesuatu yang manis bahawa mereka adalah generasi yang berilmu yang akan menjadi penerus perjuangan kami. Rindu itu datang lagi, datang mengimbau nostalgia silam yang indah yang pernah kulalui bersama ayah, ibu dan kakak tersayang. Untuk anak-anak yang bakal  membaca coretan ini mari kita kongsi bersama kemanisan kasih sayang keluarga yang berada dalam lindungan rahman dan rahimnya.  Al-Fatihah untuk  Ibu dan  ayah, semoga Allah terus merahmati allayarham dan allahyarhamah berdua. Amiin.

Catatan autograph CPja

Rindu sangat membaca buku-buku lama semasa belajar di Universiti 13 tahun lalu. Mendekati almari buku, melihat-lihat buku yang sesuai untuk dibaca. Dalam menyelak-nyelak buku, mataku tepandang tajam ke barisan buku setebal setengah inci berwarna hijau pucuk pisang dengan tajuk "Bimbingan Menara Gading". Seperti kebiasaannya akan kubaca sinopsis buku, kemudian lihat isi kandungannya. Dalam membelek helaian-helaian buku sekeping gambar 8R terjatuh. Kulihat barisan guru dan pelajar-pelajar bergambar dengan tajuk "Pengawas Asrama SMK AgamaTun Sakaran". Rupanya Gambar anak sulungku terpapar di barisan Tengah. Nurhafizah Binti Sarail Pengawas Asrama tahun 2007. Pada waktu itu dia berada di Tingkatan Lima.
 
       Pada bahagian akhir buku aku termangu sekejap membaca tulisan tangannya dalam ruangan autograph. Penuh makna dan mengimbau ingatanku kepada peristiwa silam; Catatannya berbunyi begini:
         walaupun aku tidak mampu untuk kekal berada di tempat teratas,
         namun aku masih mampu untuk mencuba yang terbaik
         agar tergolong dalam mereka yang merasai untuk menjadi yang teratas.

         segala titik dan usaha yang gigih 
         pasti mendatangkan satu kejayaan yang cemerlang
         dan itulah saat yang paling manis dan berbahagia untuk kita tempuh.
         
         Jadilah seperti apa yang kita ingini 
         dan lakukan apa yang benar-benar ingin kita lakukan
         dan bukan kerana terpaksa atau desakan orang di sekelilingmu.

       Catatan yang penuh bermakna dan direalisasikan oleh anak sulungku ini. Dia kini sedang dalam pengajiannya di tahun akhir di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang dalam bidang ilmu kemanusiaan Program Ijazah Sarjanamuda Sastera. 

Pelajar Cemerlang

Ciri-ciri pelajar cemerlang

  1. Taat kepada Allah s.w.t
  2. Menghormati dan menyayangi kedua ibu bapa
  3. Menghormati dan menyangi semua guru
  4. Berkawan dengan pelajar bersikap positif
  5. Membantu kawan yang memerlukan bantuan
  6. Bermotivasi tinggi dan sentiasa melakukan sesuatu sebaik mungkin
  7. Mahir mengenai strategi dan teknik pembelajaran yang cemerlang
Refleksi diri anda, adakah anda memilikinya. Sebahagian, semuanya atau tiada langsung. Mahu cemerlang ayuh bergerak untuk memilikinya agar kecemerlangan tetap dalam genggaman anda.

Tuah anak-anak Semporna

gambar hiasan.
Pada 27 Mei 2013, saya menghadiri majlis pecah tanah MRSM Semporna di Puast Giat Mara Kg Bantayan Tagasan. Hadir kerana mengiringi anak menerima anugerah pelajar terbaik SPM 2012 daripada MARA. Majlis tersebut dirasmikan oleh Datuk Sri Panglima Hj Mohd Shafie Bin Hj Apdal, Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah Malaysia. 
        Sebagai bapa kepada lima orang anak, sesungguhnya kemunculan beberapa institusi pendidikan di daerah Semporna yang dibawa oleh Datuk Sri sangat membanggakan. Inilah wawasan yang sangat bermanafaat kepada generasi anak-anak Semporna. Sesungguhnya anak-anak Semporna kini dan akan datang sangat bertuah. Apa tidaknya penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), membuka ruang yang lebih luas kepada murid-murid dari sekolah rendah di daerah ini mendapat pendidikan yang lebih berkualiti setanding dengan anak-anak daerah lain di Sabah dan Malaysia umumnya. Ini adalah MRSM yang ketiga terdapat di Sabah, selain MRSM di Tawau dan Papar.
         Melihat tayangan projek pembinaan MRSM selepas majlis pelancaran, semua hadirin terpegun melihat keindahan dan kelengkapan bangunan MRSM yang akan dibina. Menurut sumber pembinaannya bermula tahun ini dan dijangka akan siap pada bulan Ogos 2014. Menurut Datuk Sri keutamaan akan diberikan kepada murid-murid cemerlang Daerah Semporna memasuki MRSM Semporna.
             Sesungguhnya penubuhan MRSM di Semporna menjadikan bilangan institusi pendidikan di Semporna yang dibawa oleh Datuk Sri Shafie bertambah selepas penubuhan Pusat Giat Mara, Kolej Komuniti, Polytech Mara dan Kolej Risda. Terbukti bahawa janji yang pernah diutarakan oleh Datuk Sri Shafie ketika memenangi pilihan raya pertamanya 20 tahun lalu untuk memajukan pendidikan berkualiti di Semporna telah ditunaikan. Tahniah kepada pemimpin No.3 Malaysia ini dan semoga generasi anak-anak Semporna memanfaatkan kewujudan MRSM Semporna. Kemajuan yang dibawa ini akan dinikmati terus-menerus oleh generasi anak-anak Semporna, yang akhirnya mereka tidak ketinggalan dan akan mampu bersaing dengan pelajar-pelajar lain di seluruh Malaysia.

Membuang undi tanggungjawab rakyat

5.3.13 jam 12.00 tengah hari tanggungjawab sebagai rakyat telah berjaya disempurnakan. Saya dan isteri telah menjalankan tanggungjawab tersebut di pusat mengundi SK. Bugaya Semporna. Sebagai rakyat Malaysia, nikmat keamanan dan kemakmuran keselamatan dan kesejahteraan di negara Malaysia yang tercinta ini adalah satu anugerah yang Allah berikan. Mudah-mudahan Allah memenangkan calon dan parti politik yang ikhlas dan benar-benar menjalankan tanggungjawab mereka. Syabas kepada semua rakyat Malaysia yang telah menunaikan tanggungjawab mereka. Selamat maju jaya. 

Perasmian Masjid As' Saif Kg. Sakong Kecil

Masjid As' Saif Kg. Sakong Kecil,
 Semporna
Pada 3.5.2013 Jumaat, bersamaan 22 Jamaadil Akhir 1434H, Masjid As' Saif Kg. Sakong Kecil Semporna telah dirasmikan oleh Datuk Sri Mohd Shafie B Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia. Sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kampung Sakong Kecil (JMKSK) saya menjadi tulang belakang untuk membantu Pengerusi En Nulbahari Bin Hj Hanapi yang juga imam kariah Kampung Sakong Kecil.
         Bagi merealisasikan hasrat itu saya telah memangil Jawatankuasa Masjid JMKSK untuk bermesyuarat pada 27.4.13. Dalam mesyuarat itu, perlantikan jawatankuasa pelaksana telah dijalankan dan beberapa perkara telah dibincangkan termasuk perkara-perkara yang mahu dikemukakan kepada perasmi. Untuk memastikan persiapan berjalan lancar pada 2.5.13 sekali lagi saya telah memanggil AJK untuk berjumpa bagi mendapat laporan perkembangan kerja. nampaknya semuanya berjalan lancar melainkan berkaitan kanopi yang nampaknya menghadapi sedikit masalah tetapi, alhamdulillah dapat juga diselesaikan walaupun sehingga jm3.00 pagi.
        Amat membanggkan kehadiran penduduk kampung dan para jemputan. Seawal jam 9.30 pagi pada 5.5.13 mereka sudah memenuhi lapangan yang sudah disediakan. Mereka sangat teruja untuk menanti kedatangan perasmi YB Datuk Sri Hj Mohd Shafie Bin Hj Apdal. Maklumlah pemimpin no.3 negara dan juga wakil rakyat Parlimen kesayangan mereka.
        Pukul 11.00 hampir dilalui namun kedatangan Datuk Sri tidak kunjung tiba, puas dihubungi oleh Imam, maklumat terkini dia masih berada di Kg. Sungai Tohok untuk satu majlis bersama rakyat di sana. Kawasan 'Panas" bagi istilah mereka. Menanti dan terus menanti. Para hadirin semakin gelisah ditambah pula suasana panas. Akhirnya datang wakil yang mengatakan Datuk Sri tidak dapat hadir dan menghantar wakilnya YB Datuk Ramlee Marahaban calon BN N54 Bugaya. Kelihatan muka yang suram dan kecewa dalam kalangan hadirin apabila saya mengumumkan ketidak hadiran Datuk Sri.
        Walaupun begitu alhamdullillah, dengan kehadiran Datuk Ramlee Marahaban majlis perasmian dapat diteruskan. Selepas upacara memotong Bunga Perasmian di Pintu Utama Masjid segalanya tampak lancar tetapi apabila saya mengumumkan upacara menandatangani plak perasmian, terhenti kerana YB Datuk Ramlee Marahaban tidak meneruskan sebab plak itu atas nama perasmi asal dan beliau sekadar wakil. Jadi plak perasmian itu kekal tidak bertandatangan. Apapun majlis perasmian dapat disempurnakan.
         Ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada perasmi, imam daerah, pegawai JHAEINS Semporna, jemputan khas dan semua JMKSK yang bertungkus-lumus menjayakan majlis. Kepada semua penduduk kampung Sakong Kecil dan Kg. Sakong Besar yang turut hadir. Semoga kehadiran anda semua mendapat balasan setimpal daripada Allah SWT.

MENANGISI HARI SEMALAM

Demam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) semakin hangat. Pemimpin parti-parti politik bergerak aktif bersama rombongan mengunjungi para pengundi di kawasan-kawasan yang panas mengikut tafsiran mereka. Mereka mencanangkan pelbagai isu dan janji-janji manis kepada pengundi. Yang berjaya dalam pilihan raya lalu, tetapi belum menepati janji mula mencari pelbagai helah untuk memadamkan kegusaran hati pengundi terhadap keupayaan mereka. Setelah alpa mereka mula diulit kebimbangan, adakah kemanisan semalam akan berulang atau mereka akan terpaksa meniti hari-hari pahit dan menangisinya.

Bagi calon yang mula berjinak-jinak dengan proses pilihan raya dan bertanding atas tiket Bebas, mereka turut memperjudikan nasib mencuba, mencelah di tengah-tengah kesibukan parti-parti pemerintah dan parti-parti pembangkang yang telah perkasa. Walaupun terasa kecil langkah dan perjuangan mereka, mereka juga tidak mahu ketinggalan berusaha mendatangi pengundi-pengundi di pelusuk kawasan mereka. Siapa tahu ada setitik harapan sokongan terhadap mereka.

Kepada mereka yang rancak dibuai mimpi-mimpi indah dengan pelbagai harapan menggunung sekalung peringatan. Bebaskan diri daripada sikap angkuh, dengki khianat, tomahan dan hasad dengki dalam perjuangan. Bebaskan diri daripada menyerang peribadi individu apatahlagi mengaibkannya. Kerana sesungguhnya semua itu adalah senjata syaitan untuk merosakkan perjuangan politik suci yang pernah diasaskan oleh baginda Rasulullah saw. semasa menegakkan pemerintahan Islam di bumi Madinah. Contohi baginda yang berjuang menyatukan pelbagai bangsa dan fahaman agama yang sedia ada di bumi Madinah menjadi suatu bangsa yang bersatu melalui pembentukan rakyat Madinah sebagai Satu Ummah.

Hulurkan janji manis yang boleh ditepati. Kerana janji menjadi suatu tanggungjawab dan amanah yang mesti ditepati. Mungkir janji adalah antara sifat orang munafik. Jangan sesekali menjadi sebahagian daripada mereka atau tergolong dalam golongan tersebut. Jangan sesekali menggunakan janji sebagai alat untuk memancing undi. Walaupun pintu taubat sentiasa terbuka, namun dosa-dosa semalam tetap menghambat dan meninggalkan parut pada hamparan iman yang putih suci dan bersih. 

KEPEMIMPINAN

Hari penamaan calon pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sudah berlalu. 20 April 2013 menjadi bukti bahawa ramai manusia yang mahu jadi pemimpin. Mereka mengemukakan borang pencalonan kepada pengerusi SPR kawasan masing-masing dengan diiringi oleh pencadang dan penyokong masing-masing. Tiga kawasan DUN pilihan raya di Daerah Semporna memperlihatkan pertandingan enam hingga tujuh penjuru iaitu di kawasan DUN Bugaya, DUN Senalang dan DUN Sulabayan. Dua kawasan BN mengekalkan calon masing-masing iaitu Datuk Hj Nasir Bin Sakaran DUN Senallang dan Datuk Ramle Marhaban DUN Bugaya, melainkan Kawasan DUN Sulabayan BN mengemukakan calon baru iaitu Datuk Jaujan Sambakong, menggantikan Datuk Hj Harman B Mohammad. Beliau merupakan setiausaha Sulit kepada Datuk Sri Mohd Shafie Apdal. Bagi kerusi parlimen P183 Semporna BN mengekalkan Datuk Sri Mohd Shafie Apdal sebagai calon untuk mempertahankan kerusinya.

Apa yang menarik bilangan calon yang bertanding atas tiket calon Bebas meningkat di samping calon-calon yang bertanding atas tiket parti pembangkang yang sedia ada. Walaupun ia sesuatu yang menggambarkan bahawa amalan demokrasi berpolitik negara ini sudah semakin matang disamping kesedaran berpolitik dalam kalangan rakyat semakin baik, namun di satu sudut ia sewajarnya patut diambil perhatian oleh para pengundi dan rakyat keseluruhannya. Sebelum membuang undi rakyat perlu menjawab  beberapa persoalan yang menjadi landasan mereka supaya dapat membuat pemilihan yang terbaik dan bukan pilihan sia-sia. Apakah sebenarnya hala tuju perjuangan calon-calon pilihan mereka. Apakah calon-calon mereka sudah bersedia menjadi seorang pemimpin? Kalau jawapannya ya!, cara kepemimpinan bagaimana yang akan mereka bawa kepada rakyat di kawasan mereka.

Sesuatu yang cukup membimbangkan adalah, terdapat calon yang bertanding atas tiket calon Bebas itu adalah mereka yang kecewa terhadap parti yang mereka dukung selama ini. Tidak boleh diketepikan juga adalah calon yang berjuang atas dasar sentimen perjuangan peribadi dan keluarga yang didasarkan atas dendam yang membara kepada calon dan parti lawan. Senario sebegini akan menjadikan perjuangan mereka tidak suci dan tulin. Kenapa? Sebab keperluan dan kepentingan rakyat, negara dan agama diletakkan pada tempat yang kedua dan bukan keutamaan. Andainya golongan ini berjaya dalam agenda mereka, rakyat juga yang akan berada dalam delima bak kata pepatah, "untung sabut timbul, untung batu tenggelam".

Sehubungan dengan ini dalam PRU13 ini, rakyat perlu bijak, pengundi perlu menggunakan hak dan kuasa mereka untuk memilih. Jadilah pengundi yang bijak. Calon yang kita pilih adalah calon yang bakal menjadi pemimpin kita, pemimpin keluarga kita, pemimpin generasi kita. Tersalah memilih pemimpin akan menjadikan kita mengigit jari. Lima tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat. Terlalu banyak kemungkinan yang berlaku dalam tempoh itu. Sekiranya kita berhasrat mahukan perubahan positif ke arah kemajuan dunia dan akhirat, pilihlah pemimpin dan parti politik yang memiliki visi dan misi yang jelas dan yang memiliki prestasi kepemimpinan yang cemerlang.

HAIYAA ALAL FALAAH...menuju kejayaan

"Setiap orang inginkan kejayaan dalam kerjaya. Naik pangkat terutamanya. Berlumba-lumba mengejar, menggapai dan memilikinya. Tetapi tidak semua yang muhasabah diri, layakkah aku? Kalau layak, layak yang bagaimana. Layak sekadar cukup tempoh. Naik Gred untuk naik gaji. Naik pangkat bermakna memegang jawatan. Jawatan itu satu amanah. Bolehkah menyempurnakan amanah?" Soalan itu bermain dalam fikiranku sepantas kilat setelah menerima makluman daripada Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah. "Ada iklan pemangkuan jawatan DG44 ke DG48, pohonlah, cikgu layak. DG44 lantikan tahun berapa? tanya PK1. "Tahun 2008, 16.05.2008" jawabku lengkap. "Ha layaklah tu, sebab syarat lantikan tahun 2010 ke bawah". Tegas PK1. "Oo, iya. Terima kasih. Nantilah cikgu fikir dulu." jawabku.

Memegang jawatan penting di sekolah, seperti penolong kanan pentadbiran, penolong kanan HEM, penolong Kanan Kokum dan penolong kanan petang merupakan suatu amanah besar yang perlu digalas seseorang yang bercita-cita memegang jawatan tersebut melalui saluran kenaikan pangkat secara umum. Hal ini kerana seseorang yang berjaya, akan memangku jawatan selama enam bulan sebelum dilantik secara hakiki. Mereka juga perlu akur untuk ditempatkan di mana-mana sekolah yang mempunyai kekosongan jawatan tersebut. Ini bermakna seseorang itu akan bertukar dari sekolah asal ke sekolah baharu yang terdapat kekosongan bagi jawatan tersebut.

Saya mengambil keputusan untuk tidak memohon iklan jawatan pemangkuan DG48, biarlah saya kekal dalam laluan guru akademik tingkatan enam yang saya sandang sekarang. Guru Akademik Sejarah Tingkatan Enam Hakiki. "Tunggu sajalah iklan pemangkuan jawatan DG48 guru akademik." Bisik hati kecilku. 

Sebenarnya saya mempunyai pengalaman sebagai pentadbir. Tahun 1991-1994 saya dilantik sebagai Guru penyelia petang di SMK. Bugaya. Lantikan sekolah. Saya diperakukan oleh En Mohd Ismail bin Talib, Pengetua pada masa itu. Pada waktu itu tidak ramai bilangan guru siswazah di sekolah menengah di daerah Semporna. Jadi saya sebagai guru penolong DGA29, merupakan paling kanan dari segi senioriti perkhidmatan. Empat tahun menjalankan tugas cukup mencabar. Apa tidaknya saya yang mengurus kurikulum, mengurus hal ehwal murid petang, disiplin pelajar, pendaftaran pelajar tingkatan satu. Yang paling sukar ialah menyelia guru-guru yang mempunyai pelbagai karenah. Menguji dan sangat menghambat pemikiran saya. Guru sesi petang seramai 42 orang dan 24 buah kelas tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Jumlah murid sesi petang sebanyak 620 orang.

Tahun 1997 saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Sabah dalam bidang Sarjanamuda pendidikan dengan Sains Sosial Kepujian dalam bidang Sejarah. Menamatkan pengajian pada tahun 2000 dan ditempatkan semula ke SMK. Bugaya. Tahun 2004 hingga 2008 diperakukan oleh Tn haji Abu Hassan Bin Hj Ag. Baba, pengetua SMK. Bugaya ketika itu sebagai Ketua Bidang kemanusiaan. Membantu meningkatkan kurikulum sekolah bidang kemanusiaan bersama dua orang penolong kanan pentadbiran iaitu En Abdul Aziz Bin Hj Abd Rashid (sekarang menjadi pengetua SMKDPA) dan En Zaini bin Mat yang mula berkhidmat pada tahun 2008 hingga sekarang.

Sekarang saya lebih selesa sebagai guru akademik. Begitu banyak kemanisan daripada kepahitan. Fokas utama saya lebih kepada kejayaan pelajar dalam bidang yang saya ajar untuk memudahkan mereka melangkah ke manara gading. Tahun 2010 saya mula mengajar sepenuh masa dalam aliran Pra Universiti dengan mengajar 3 buah kelas Tingkatan enam rendah. Tahun 2012 merupakan pencapaian terbaik saya dan paling manis dalam hidup saya sebagai guru. Sebanyak 26 orang murid saya memperoleh gred A dalam mata pelajaran Sejarah kertas 2 yang saya ajar. Salah seorang daripada mereka adalah anak lelaki saya Ahmad Hafez bin Sarail yang juga menjadi pelajar ketiga terbaik STPM tahun 2012 SMK. Bugaya. Apa yang lebih membanggakan, kelas mereka iaitu Tingkatan Enam Aspirasi saya mengajar mereka sejak dari tingkatan enam rendah. Pada tahun tersebut jumlah keseluruhan pelajar Pra U SMK Bugaya yang memperoleh prinsipal A dalam mata pelajaran sejarah ialah 67 orang. Mata pelajaran Sejarah muncul sebagai subjek terbaik STPM 2012 dengan pencapaian 98% lulus prinsipal. Pencapaian terbaik STPM Daerah Semporna menewaskan empat buah sekolah lain yang mempunyai ingkatan enam.

Tahun 2013 umur saya sudah menjangkau 50 tahun. Untuk menjadi pentadbir, yang berhadapan dengan tekanan tinggi pengurusan sumber manusia, rasanya ingin saya elakkan. Saya perlukan ketenangan dalam meniti usia tua. Saya mahukan kemanisan bekerja, yang saya yakin dan percaya saya perolehi di dalam bidang akademik Pra Universiti. Saya suka mendidik dan membimbing pelajar akhir remaja yang menuju proses pematangan. Bukan sekadar mereka berjaya dalam subjek  Sejarah yang saya ajar, tetapi jauh lebih bermakna mendidik mereka sebagai manusia yang menjadikan syariat Islam sebagai titian menuju kejayaan. Kejayaan dunia dan akhirat. Robbanaa aatinaa fiddunya khasanaa wafil aakhiratii khasanaa waqinaa azabannaar.

Orang Berbudi Kita Berbahasa...

Puisi Melayu lama merupakan pancaran norma kehidupan mereka. Masyarakat Melayu lama bijak menyampaikan ilmu dan mendidik generasi mereka dengan berhemah. Mereka menggunakan bahasa yang indah untuk mendidik anak-anak agar dapat mengamalkan budaya yang murni dalam kehidupan apabila dewasa kelak. "Orang Berbudi Kita Berbahasa, Orang Memberi Kita Merasa". Sungguh indah susun atur kata-kata yang mengandung banyak makna tersirat. Nilai-nilai murni terpancar daripada kata akar, budi, bahasa, beri dan rasa. Penggunaan imbuhan Ber... dalam kata akar itu memberi penekanan kepada makna kata kerja. Iaitu suatu kata yang mengajar masyarakat agar bertingkahlaku seperti yang dikehendaki dalam norma-norma masyarakat lama.Bagaimana diaplikasikan dalam kehidupan kita, sukarkah? Pada 7 April 2013 saya telah menganjurkan satu majlis keluarga yang saya rasanya boleh dikaitkan dengan peribahasa di atas. Bukan menunjuk atau rasa bangga diri tetapi sekadar perkongsian minda. 

Perasaan gembira menyelebungi keluarga saya, selepas anak-anak menerima keputusan peperiksaan awam yang mereka duduki. Apa tidaknya, mereka mencapai keputusan yang cemerlang iaitu Khairunnisa 7A dalam PMR, Nursyahirah 7A dalam SPM dan Ahmad Hafez 3A dalam STPM. "Alhamdulillah". Ucapan syukur kepada Allah spontan saya lafazkan di atas anugerah ini. Saya dihujani oleh ucapan tahniah oleh rakan-rakan guru. Sesungguhnya kejayaan mereka selain usaha mereka bersunguh-sungguh juga turut didukung oleh guru-guru yang mengajar mereka di bilik-bilik darjah.  Saya turut mengucapkan terima kasih kepada rakan guru yang membimbing anak-anak saya sehingga mencapai kejayaan.

Sebagai tanda penghargaan kepada rakan-rakan dan juga keluarga yang turut sama mendoakan saya dan anak-anak, saya telah mengadakan majlis kesyukuran. Majlis tersebut telah dihadiri oleh rakan-rakan guru termasuk sahabat handai anak-anak saya. Pengetua SMK. Bugaya, Penolong Kanan Pentadbiran dan Penolong kanan HEM, serta Ketua Bidang turut hadir dalam majlis tersebut. Kehadiran mereka ke majlis saya, merupakan satu penghormatan dan saya kagum dengan sikap prihatin mereka. Sikap mereka menggambarkan kepada saya bahawa mereka turut menghargai kecemerlangan anak-anak saya kerana turut membantu mengharumkan nama sekolah dalam peperiksaan awam.

Saya turut mengadakan Majlis tahlil untuk kedua ibu bapa saya. Walaupun mereka telah lama pergi mendahului kami namun pengorbanan mereka mendidik dan membesarkan saya sehingga berjaya tetap dalam ingatan. Majlis kesyukuran dan majlis tahlil tersebut memberi ruang kepada anak-anak saya untuk berkerja menyediakan juadah dan mengedarkan jamuan kepada guru-guru dan sahabat handai mereka. Hal ini secara tidak langsung mengujudkan semangat kerjasama dalam kalangan mereka untuk menjayakan majlis tersebut. Sekaligus dapat menyemai nilai menghargai sumbangan guru-guru mereka. Bak kata pepatah masyarakat Melayu lama "orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa".

ESSCOM Wahana Keselamatan dan Keamanan Pantai Timur Sabah

Peristiwa pencerobohan pengganas sulu semakin reda. Namun, pasukan keselamatan negara masih giat mencari sisa-sisa pengganas yang dipercayai masih berada di beberapa tempat di pantai timur negeri Sabah. Tugas kali ini jauh lebih sukar daripada tugas fasa pertama pertempuran di kawasan Kampung Tanduo, Kampung Tanjung Batu  dan Kampung Tanjung Labian. Di sana musuh mudah dikenal pasti tetapi sekarang sukar membezakan mereka dengan penduduk tempatan, kerana keupayaan mereka berbahasa tempatan Sabah di samping berbahasa Malaysia dan mereka sedang bercampur-gaul dengan penduduk tempatan. Berkemungkinan besar ada dalam kalangan mereka sudah memiliki mykad sama ada secara sah atau secara proses yang diragui. Bermakna tugas pasukan keselamatan negara kita semakin sulit, khasnya menjejaki rangkaian mereka yang diwarwarkan masih berada di beberapa daerah dalam lingkungan yang agak besar jumlahnya.

Hal ini menuntut semangat patriotisme dalam kalangan penduduk tempatan. Mereka perlu bertindak melaporkan dengan pantas sebarang keraguan yang timbul terhadap gerak-geri kaum pendatang dari kepulauan sulu, tidak kira sama ada mereka sudah menjadi pemastautin tetap mahu pun yang masih memegang kad lawatan sementara. Mereka merupakan bangsa yang kuat berdendam. Dendam adalah sebahagian daripada kehidupan tradisi mereka. Tiada yang mampu menghalang dendam yang membara dalam diri mereka. Mereka sedia bertindak di luar jangkaan pemikiran kita untuk membela dan menebus nyawa kaum kerabat yang terkorban dalam peperangan di Lahad Datu  ataupun yang telah ditangkap oleh pihak berkuasa di beberapa daerah negeri ini. Rakyat perlu sentiasa berhati-hati, tidak boleh berpeluk tubuh dan dibuai oleh kemenangan dan kejayaan pasukan keselamatan menewaskan mereka. Rakyat perlu memberikan sokongan kepada pasukan keselamatan mengikut keupayaan kita. Sokongan yang paling kukuh ialah jangan menyebarkan khabar-khabar angin yang boleh mewujudkan situasi panik dan ketakutan yang keterlaluan dan membabi buta. Kita perlu yakin dengan keupayaan pasukan keselamatan kita.

Seperkara yang perlu diambil iktibar daripada peristiwa pencerobohan tersebut adalah semangat perpaduan yang seharusnya menjadi semakin utuh dalam kalangan rakyat Malaysia. Semangat kenegerian khususnya dalam kalangan penduduk Sabah yang sering bersikap anti Semenanjung dan begitulah juga sebaliknya penduduk semenanjung yang sering merendah-rendahkan rakyat Sabah perlu dikikis. Sejarah membuktikan bahawa mereka yang terkorban dalam peristiwa pencerobohan di Lahad Datu dan di Semporna adalah terdiri dari kalangan pasukan keselamatan tiga wilayah Malaysia iaitu dari Bumi Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Mereka telah berjuang tanpa sentiman batasan wilayah. Mereka sama-sama berjuang mempertaruhkan nyawa mereka untuk mempertahankan tanah Malaysia yang tercinta ini.

Ayuh rakyat Malaysia dari Perlis sampai ke Sabah kita bina dan rapatkan barisan kita, bersatu memusnahkan petualang negara sama ada mereka yang datang merentasi Lautan Sulu mahupun mereka yang menjadi duri dalam daging di negara kita yang tercinta ini. Tolakkan tomahan dan impian songsang sejarah mereka yang tidak mahu berpijak di bumi yang nyata, sebaliknya dibuai oleh mimpi-mimpi indah nafsu serakah. Semoga penubuhan ESSCOM yang diketuai oleh Datuk Muhammad Mentek, Ketua Pengarah ESSCOM dan dibantu oleh empat orang Timbalan Ketua Pengarah dapat mempastikan keselamatan bahagian pantai timur Sabah lebih terjamin dan terpelihara. Selamat maju jaya kepada ESSCOM.

ANUGERAH


    Tahun 2013 merupakan tahun bertuah kepada saya sekeluarga. Anugerah Allah s.w.t kepada kecemerlangan anak-anak dalam peperiksaan awam. Usaha gigih mereka sebelum menduduki peperiksaan beroleh hasil setimpal dengan jerih payah mereka. Anak bongsu Khairunnisa meraih 7A dalam PMR. Kakaknya Nursyahirah cemerlang dengan 7A dalam SPM, manakala abang mereka Ahmad Hafez memperoleh 3A, 1B dalam STPM. Setiap daripada mereka mencipta sejarah baharu dalam keluarga apabila masing-masing memecahkan rekod kecemerlangan kakak mereka Nurhafizah yang sedang belajar tahun akhir di USM.

    Dalam kegembiraan ini saya turut mengucapkan terima kasih kepada warga guru SMK. Bugaya khasnya yang terlibat secara langsung dalam membimbing anak-anak saya di bilik darjah selanjutnya di luar bilik darjah. Sesungguhnya anak-anak saya bertuah kerana belajar di SMK. Bugaya yang majoriti guru-gurunya komited dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Kepada mereka saya kalungkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih.

    Cabaran Tahun 2013, cukup menghambat pemikiran saya apabila memikirkan ketiga-tiga anak kami menduduki tiga peperiksaan awam di peringkat PMR, SPM dan STPM. Sebagai bapa dan ketua keluarga juga sebagai seorang guru, cabaran itu disahut dengan membuat sepenuh perancangan untuk memastikan ketiga-tiga mereka berupaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki. Langkah awal saya adalah berbincang dengan mereka untuk menetapkan target keupayaan maksimum yang boleh mereka capai dalam peperiksaan diduduki. Selepas itu saya mula merancang dengan merujuk guru-guru mata pelajaran yang mengajar mereka untuk mendapatkan input berguna tentang prestasi semasa mereka. 

      Bagi mata pelajaran bahasa dan kemanusiaan saya tidak menghadapi masalah kerana saya dan isteri boleh membimbing mereka di rumah. Namun bagi subjek Bahasa Inggeris, dan subjek elektif seperti sains, matematik tambahan, prinsip akaun, saya menghantar mereka ke pusat tuisyen yang berwibawa. Di sekolah saya turut mendapatkan khidmat guru-guru yang mengajar mereka untuk mengadakan kelas lebih masa di luar waktu persekolahan. Anak-anak saya turut bersemangat mengikuti kelas-kelas yang dianjurkan, kerana pendekatan yang diambil oleh guru-guru mereka, antaranya seperti En Ahmad Shamsul Hadi, Pn. Nor Raihan, Cik Chung See Yee cukup menarik dan berkesan.

       Sebulan sebelum hari sebenar peperiksaan saya sangat mengagumi guru-guru pra U SMK. Bugaya yang diketuai oleh Pn. Masni, Pn. Jurinah, Pn Nursyahmi dan En Mohd Aksan yang sanggup membimbing calon-calon STPM termasuk anak saya menghadiri kelas malam. Sebagai bapa saya bersyukur kepada Allah s.w.t kerana mengurniakan anak-anak saya guru-guru yang berdedikasi. Disamping itu mengurniakan saya, anak-anak yang patuh kepada ibu bapa, berdisiplin dan menghormati guru.

        Pada hari peperiksaan, saya telah mempraktikkan apa yang telah diperolehi semasa saya menghadiri majlis restu di SMKA Tun Sakaran, ketika anak sulung saya menduduki peperiksaan SPM tahun 2006. Petua-petua yang dikemukakan dalam sesi ceramah itu telah saya praktikan. Sebelum hari peperiksaan bermula, selepas solat Maghrib berjemaah kami sekeluarga menunaikan solat hajat memohon keredhaan Allah s.w.t. agar anak-anak dikurniakan Allah akal pemikiran yang tajam, dada yang lapang dan iman yang kukuh  semasa menghadiri peperiksaan mereka. Setiap kali anak saya menduduki kertas peperiksaannya, saya akan berdoa kepada Allah dengan membacakan surah Yasiin. Saya juga sentiasa berpesan kepada mereka agar memulakan setiap sesi peperiksaan mereka dengan berdoa kepada Allah dan mengucapkan syukur selepas menyelesaikannya, sepanjang hari peperiksaan. dengan erti kata bertawakkal kepada Allah disepanjang menghadiri peperiksaan.

       Demikianlah anugerah Allah kepada saya sekeluarga. Anugerah kemanisan Iman. Anugerah kejayaan anak-anak. Sesungguhnya saya memohon kepada Allah agar mengampunkan dosa-dosa kami dan dosa-dosa kedua-dua ibubapa kami. Kami juga memohon agar Allah memandang kami sekeluarga dengan rahman dan rahimNya. Mengekalkan kami dalam hidayah dan taufiknya. Memelihara kami dari azab siksaan api neraka.