Tanggal 19.12.12 jam 10.30 pagi, hari yang bersejarah dalam keluargaku. Sejarah baru dicipta apabila anak bongsuku Khairunnisa Binti Sarail mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR yang didudukinya dengan memperoleh 7A, sekaligus menjadi pelajar terbaik PMR SMK Bugaya Tahun 2012 dengan pencapaian penuh 7A, 1B dan ID, iaitu lulus penuh semua sembilan mata pelajaran yang diduduki. Dia meleburkan rekod yang dipegang kakaknya Nurhafizah Binti Sarail 6A dalam PMR tahun 2005.
Sesungguhnya kupanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. kerana telah mengurniakan kejayaan ini kepada anakku. Dalam ruangan yang terhad ini ingin kukongsi pengalaman dengan mereka yang berada di luar sana khasnya para ibu bapa yang sentiasa mendambakan kejayaan anak-anak dalam penerokaan pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Allah SWT adalah tempat yang terbaik dan selayaknya untuk meminta, memohon dan bertawakkal selepas semua daya usaha dijalankan. Inilah yang telah aku dan anak bongsuku lakukan sehingga membuahkan kejayaan yang besar ertinya ini.
Deringan telefon bimbit isyarat pesanan ringkas memecah keheningan pagi. Suasana pagi yang penuh dengan penantian dan debaran tiba-tiba bertukar ceria. Tiba-tiba anak bungsuku, Khairunnisa (Cama) yang membaca mesej menerpa ke arahku menjerit memelukku sambil berkata "Pak dapat 7A aku". Sepantas kilat, linangan air mata membasahi pipiku, rasa sebak di dada dengan penuh kegembiraan menyelubungi seluruh tubuhku. Hati kecilku berbisik "Syukur ya Allah. Alhamdulillah Engkau makbulkan doaku, doa kesemua keluarga ini yang mengharapkan kecemerlangan anak bongsu kami. Aku memeluk erat anak bongsuku mengucapkan tahniah. Tidak dapat kubayangkan betapa cerianya pagi Rabu itu. Hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Mendengarkan suasana riuh kegembiraan, isteriku Misnah, bergegas dari dapur menuju ke ruang tamu rumah kami, bila kukhabarkan kandungan SMS dia turut gembira dan mengucapkan tahniah kepada Cama.
Selepas semuanya kembali tenang, kusorot kembali perjuangan Cama dalam meniti arus pembelajarannya sehingga membuahkan hasil kejayaan. Cama sememangnya dikurniakan Allah akal pemikiran yang tajam dan ingatan yang kukuh, mudah faham dan rajin. semenjak dari peringkat sekolah rendah lagi dia sentiasa menerima anugerah pencapaian terbaik di sekolah. Sentiasa berada pada kedudukan nombor satu di dalam kelas dan 'Top Three' keseluruhan Darjah Enam di sekolahnya. Cuma yang sedikit mengecewakannya ialah dia tidak berjaya memperoleh stret A dalam UPSR. Hanya sekadar 3A dan 2B. Tetapi apabila memasuki sekolah menengah rendah ditempat aku mengajar, dia terus berusaha untuk mempastikan kecemerlangan di peringkat PMR. Impiannya tidak disembunyikan tetapi dimaklumkan kepadaku dan isteriku. Melihatkan semangatnya yang berkobar, kami sentiasa dan terus berusaha memberikan sokongan kepadanya untuk mencapai cita-cita murni itu. Kakak sulungnya yang juga antara pelajar cemerlang di sekolahnya Sekolah Menengah Agama Tun Sakaran turut memberi dorongan kepadanya, terutama selepas kakaknya itu memperoleh 6A dalam PMRnya. Sekarang kakaknya itu berada di Semester Lima Universiti Sains Pulau Pinang, mengikuti pengajian peringjat Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Bahasa dan Komunikasi.
Lamunanku terhenti. "Memang sudah ku agak. Cama boleh dapat 7A". Tiba-tiba anak lelakiku Ahmad Hafez keluar dari biliknya menyampuk. Rupanya dia mendengar suasana riang di ruang tamu itu dari dalam biliknya. Hafez (empi) adalah abang Cama, anak ketiga dalam keluargaku. Dia pun menduduki peperiksaan STPM tahun ini di sekolah yang sama dengan Cama, tempat aku mengajar. Empi adalah abang penyayang, dialah yang selalu menggantikan tempatku untuk menghantar dan mengambil adiknya itu menghadiri kelas tuisyen dan kelas-kelas tambahan anjuran pihak sekolah. Di samping dia belajar bertarung untuk STPMnya dia juga turut memberikan khidmat sokongan kepada perjuangan adik-adiknya. Aku bangga dengan sikapnya.
Disamping gembira dengan kejayaan cemerlang anakku. Dalam hati kubisikkan, "Terima kasih rakan-rakan guru di SMK. Bugaya, yang turut berusaha mengajar dan membimbing cama menghadapi PMRnya, teristemewa guru kelasnya Puan Latifah Binti Abu Hassan yang juga menjadi guru Bahasa Melayu. Sentuhan keramatnya mencetus motivasi kepada pelajarnya kelas aliran agama Tiga Cendekia. Terima kasih juga kepada pihak pengurusan SMK Bugaya khasnya Penolong Kanan Pentadbiran, Ketua-Ketua Bidang yang merancang program peningkatan akademik seperti penganjuran kem motivasi, kelas-kelas tambahan yang banyak membantu Cama dalam meningkatkan pencapaiannya. Terima kasih ya Allah, kerana mengurniakan Anakku guru-guru yang berdedikasi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.
Mengimbas semula kesibukanku mengurus masa kerja, keluarga dan tanggungjawab di sekolah, rasanya seakan tidak larat aku laksanakan. Adakalanya aku mengeluh. "untuk apakah semua ini, duniaaaa. akhiratku manaaa?" Apa tidaknya, setiap hari bekerja jam 6.50 pagi sehingga 1.30 petang menunaikan tanggungjawap mendidik pelajar di sekolah. Sebelah petang hantar anak tuisyen mengikut jadual. Adakalanya sehingga jam 9.30 malam. Tetapi aku Bersyukur kerana Allah SWT. kekasihku awal dan akhir (sekiranya aku layak) sentiasa menunjukkan aku jalan yang benar dengan taufik dan hidayahNya, sentiasa mengurniakan aku kekuatan dengan kudhrat dan iradhatNya dan sentiasa mengurniakan aku kesihatan dan keafiatan dengan rahman dan rahimNya. Kugagahi akhirnya semua kesulitan yang akhirnya menyerlahkan pancaran semangat gigih kepada anak-anaku untuk meneruskan perjuangan mereka.
Pada hari peperiksaan PMR, kotolak tawaran pihak pengurusan peperiksaan untuk melantikku sebagai pengawas peperiksaan PMR dengan alasan aku menumpukan usaha memberikan sokongan kepada anakku menduduki PMR tahun ini. Kupraktikan apa yang diperturunkan kepadaku oleh seorang Ustaz semasa aku menghadiri Majlis Restu anak sulungku di SMA Tun Sakaran. "Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, doa ibu bapa terhadap anak-anaknya dan begitu juga sebaliknya akan diterima dan ditunaikan Allah, sepertimana kita hantar SMS, diterima dengan cepat. Oleh itu berdoalah dengan ikhlas untuk anak tuan-tuan. Kalau tuan-tuan ada kesempatan pada masa mereka duduk peperiksaan bacalah surah Yasiin, niatkan khusus untuk kemudahan mereka menjawab peperiksaan. khlas dan tawakkallah kepada Allah setelah semua usaha dilakukan." Masih terngiang-ngiang ucapan penceramah itu ditelingaku. Justeru, inilah yang menjadi amalanku setiap kali anak-anakku menduduki peperiksaan. Dan kali ini apabila Cama menduduki PMR aku laksanakannya, kubaca surah Yasiin dengan ikhlas mengharap kurniaan Ilahi di surau sekolahku. Kebetulan hari itu ada tugasanku di kelas PraU Atas2 dan Pra U Bawah1. Setelah memberikan tugasan, aku mohon izin daripada mereka untuk meninggalkan sekejap untuk menunaikan tanggungjawabku. Itulah amalanku sepanjang anakku Cama menduduki peperiksaannya.
Tidak sabar kukhabarkan pencapaian cemerlang Cama kepada kakak dan abangnya Ahmad Azfar yang berada di Universiti Tun Hussien Johor. Dia (empa) sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat Multimedia dalam semester pertama. Mereka juga berhak untuk berkongsi kejayaan ini kerana kejayaan mereka juga memasuki menara gading turut menjadi pembakar semangat dan pendorong kepada kejayaan adik bongsu mereka. Selepas hantar mesej, anak perempuan keduaku pula muncul dari biliknya,"Wow Cama dapat 7A. Tahniah" ujarnya ringkas sambil tersenyum. Nursyahirah (Ira) anak keempatku juga turut menunggu debaran SPMnya. Mempunyai semangat gigih dalam pelajarannya. Kuharap dia juga akan memperoleh kecemerlangan seperti adiknya. Kuyakin Allah akan menunaikan impiannya kerana sikap taatnya kepadaku dan ibunya. Anak yang rajin belajar dan membantu kerja-kerja rumah khususnya masak-memasak, sehingga digelar Chef Ira oleh abangnya Hafez.
Syukur Alhamdullah, Allah SWT mempermudahkan Cama dalam urusan peperiksaannya, mengurniakannya akal pemikiran yang tajam, dada yang lapang dan iman yang kukuh, kesihatan dan keafiatan sepanjang menduduki peperiksaan tersebut. Allah tekah mengurniakan kecemerlangan kepada Cama dalam PMR tahun 2012. Semoga Allah SWT terus mengurniakan kemurahannya kepadaku, isteri dan anakku. Syukur ya Allah.