Generasi pelapis dalam apa jua perjuangan amat penting. Apabila generasi lama pergi generasi mudalah yang akan mengambil alih segala tampuk perjuangan yang telah dimaktubkan dalam tinta emas dalam sanubari bangsa. Jika tidak ada generasi muda pelapis perjuangan, yang ditatang selama ini sukar disambung. Menyedari hakikat itulah sebagai pejuang dalam keluarga yang meneruskan kesinambungan perjuangan terdahulu masih terus berusaha mendidik pelapis penerus arus perjuangan memartabatkan nama keluarga dipersada.
Dalam meniti alur yang berliku dengan pelbagai arus kehidupan baharu, spantas kilat mindaku mengimbau perjuangan ibu dan bapa tersayang mendidik dan menyediakan pelbagai prasarana untukku menyuburkan diri sebagai anak tunggal lelaki mereka dengan ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi. Aku ditatang bagai minyak yang penuh. Kasih sayang menyirami setiap tubuhku saban hari saban waktu. Kesulitan hidup menyelubungi mereka tapi tidak pernah mengeluh mengasuh dan mendidikku menjadi insan kamil yang bakal menjadi generasi pelapis perjuangan mereka. Mereka mengerah kudrat kurniaan Ilahi membesarkanku sehingga berjaya melalui arus persekolahan rendah dan menengah seterusnya menjadi seorang guru sekolah selepas menamatkan pengajian kursus perguruan di Maktab Perguruan Sandakan, Sabah.
Kini giliranku pula berusaha sebaik mungkin menyediakan peluang pendidikan setinggi mana yang mereka termampu. Seperti ibu dan ayah, aku dan isteri berikan mereka kasih sayang, kami berikan mereka pendidikan bermakna untuk menjadikan mereka anak-anak yang soleh yang menjadi generasi penerus perjuanganku. Alhamdulilah anak sulungku bakal penamatkan pengajian Ijazah pertamanya pada bulan Jun 2013 ini. Insha Allah pentauliahannya akan menyusul selepas itu. Demikian juga anak kedua kami dan anak sulung lelaki yang sedang berjuang meneruskan pengajiannya di tahun kedua di UTHM Johor. Adiknya yang merupakan anak lelaki kedua kami juga dengan izin Allah, akan menuruti jejak kakak dan abangnya meneruskan perjuangan menimba ilmu di universiti selepas menamatkan pengajian pra universitinya dengan cemerlang pada tahun 2012 lalu.
Alhamdulillah kejayaan anak-anakku ini menjanjikan sesuatu yang manis bahawa mereka adalah generasi yang berilmu yang akan menjadi penerus perjuangan kami. Rindu itu datang lagi, datang mengimbau nostalgia silam yang indah yang pernah kulalui bersama ayah, ibu dan kakak tersayang. Untuk anak-anak yang bakal membaca coretan ini mari kita kongsi bersama kemanisan kasih sayang keluarga yang berada dalam lindungan rahman dan rahimnya. Al-Fatihah untuk Ibu dan ayah, semoga Allah terus merahmati allayarham dan allahyarhamah berdua. Amiin.
No comments:
Post a Comment