Pages

Tuah anak-anak Semporna

gambar hiasan.
Pada 27 Mei 2013, saya menghadiri majlis pecah tanah MRSM Semporna di Puast Giat Mara Kg Bantayan Tagasan. Hadir kerana mengiringi anak menerima anugerah pelajar terbaik SPM 2012 daripada MARA. Majlis tersebut dirasmikan oleh Datuk Sri Panglima Hj Mohd Shafie Bin Hj Apdal, Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah Malaysia. 
        Sebagai bapa kepada lima orang anak, sesungguhnya kemunculan beberapa institusi pendidikan di daerah Semporna yang dibawa oleh Datuk Sri sangat membanggakan. Inilah wawasan yang sangat bermanafaat kepada generasi anak-anak Semporna. Sesungguhnya anak-anak Semporna kini dan akan datang sangat bertuah. Apa tidaknya penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), membuka ruang yang lebih luas kepada murid-murid dari sekolah rendah di daerah ini mendapat pendidikan yang lebih berkualiti setanding dengan anak-anak daerah lain di Sabah dan Malaysia umumnya. Ini adalah MRSM yang ketiga terdapat di Sabah, selain MRSM di Tawau dan Papar.
         Melihat tayangan projek pembinaan MRSM selepas majlis pelancaran, semua hadirin terpegun melihat keindahan dan kelengkapan bangunan MRSM yang akan dibina. Menurut sumber pembinaannya bermula tahun ini dan dijangka akan siap pada bulan Ogos 2014. Menurut Datuk Sri keutamaan akan diberikan kepada murid-murid cemerlang Daerah Semporna memasuki MRSM Semporna.
             Sesungguhnya penubuhan MRSM di Semporna menjadikan bilangan institusi pendidikan di Semporna yang dibawa oleh Datuk Sri Shafie bertambah selepas penubuhan Pusat Giat Mara, Kolej Komuniti, Polytech Mara dan Kolej Risda. Terbukti bahawa janji yang pernah diutarakan oleh Datuk Sri Shafie ketika memenangi pilihan raya pertamanya 20 tahun lalu untuk memajukan pendidikan berkualiti di Semporna telah ditunaikan. Tahniah kepada pemimpin No.3 Malaysia ini dan semoga generasi anak-anak Semporna memanfaatkan kewujudan MRSM Semporna. Kemajuan yang dibawa ini akan dinikmati terus-menerus oleh generasi anak-anak Semporna, yang akhirnya mereka tidak ketinggalan dan akan mampu bersaing dengan pelajar-pelajar lain di seluruh Malaysia.

1 comment:

Unknown said...

salam raya 1malaysia,
boleh kongsi maklumat tentg pihak contractor yg trlibat dsb..utk mcari peluang pekerjaan kpd anak2 semporna. trma kasih.